PETALING JAYA: Baru dua bulan memiliki PSPS Riau, Norizam Tukiman sudah memikat hati penyokong kelab Liga 2 Indonesia itu apabila membantu mereka melangsaikan tunggakan hutang gaji pemain musim 2018.
Tindakan pantas Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham mengeluarkan PSPS Riau daripada hukuman.
“Kami telah menyelesaikan hutang-hutang gaji pemain PSPS Riau musim 2018 sebanyak 20 orang pemain.
“Hukuman yang dikenakan NDRC (Dewan Penyelesaian Pertikaian Nasional) Indonesia secara rasmi telah digugurkan kerana hak 20 orang pemain tersebut kini telah selesai,” kata Norizam dalam kenyataan rasmi di laman media sosial PSPS Riau semalam.
Usahawan Malaysia itu yang juga pemilik Kelantan FC sanggup mengambil risiko melabur dalam kelab Indonesia tersebut walaupun sedar bakal dibebani masalah tunggakan gaji yang masih membelenggu pasukan tersebut.
“Ketika pertama kali saya mengumumkan mengambil alih PSPS Riau pada 3 Mei 2021, saya tegaskan hutang antara PSPS dengan pemain salah satu janji saya dan akan selesai sebelum sepak mula Liga 2 pada 24 Julai 2021.
“Namun masih ada beberapa perkara yang diputuskan oleh NDRC Indonesia dan APPI kepada PSPS belum selesai dan salah satunya adalah laporan 4 pemain musim 2020 yang lalu (Liga dihentikan kerana force majeur).
“Kita janji akan selesaikan pula secepatnya. Ini sebahagian daripada komitmen kita untuk membuat perubahan dan kemajuan di PSPS Riau,” kata Norizam.
PSPS atau nama penuhnya Persatuan Sepak Bola Pekanbaru berpangkalan di Pekanbaru, Riau ditubuhkan pada 1955.
Kali terakhir PSPS Riau beraksi dalam liga utama pada 2014.