Yob kempunan uji kekuatan - Utusan Malaysia

Yob kempunan uji kekuatan

PERLAWANAN menentang PDRM, Sabtu lalu mungkin aksi pemanas badan terakhir Perak sebelum Liga Super bersambung 24 Julai ini jika mereka gagal mendapatkan pengganti Negeri Sembilan.– IHSAN PERAK FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POH: Ketika saingan Liga Super hanya tinggal 10 hari untuk disambung selepas berehat panjang, hasrat Perak mahu menguji ‘wajah baharu’ pasukan terbantut selepas aksi persahabatan yang dirancang dengan Negeri Sembilan malam ini tidak dapat diadakan.

Ketua Jurulatih Perak, Chong Yee Fatt berkata, Negeri Sembilan memaklumkan kepadanya bahawa mereka tidak dapat melakukan perjalanan ke Ipoh kerana gagal mendapatkan surat kebenaran merentas negeri.

“Negeri Sembilan menghubungi saya memaklumkan mereka tidak dapat datang ke Ipoh kerana tidak dapat kelulusan, nampaknya saya terpaksalah mengusahakan perlawanan dengan pasukan lain.

“Bagaimanapun bukan mudah untuk mendapatkan pasukan ganti dalam tempoh yang singkat,” kata Yee Fatt kepada Utusan Malaysia.

Perak FC sepatutnya me­ngadakan dua perlawanan persahabatan menjelang aksi pembukaan liga pada 24 Julai nanti, termasuk menentang PDRM.

Perlawanan dengan PDRM itu berlangsung mengikut jadual di Ipoh, Sabtu lalu yang menyaksikan Bos Gaurus menang 3-2 menerusi jaringan Nana Poku, Leandro Dos Santos dan Careca.

Menurut Yee Fatt, dia mahu mencuba beberapa muka baharu, termasuk tonggak pertahanan kelahiran England yang baru tiba di negara ini, Charlie Machell.

Selepas kehilangan ramai pemain akibat isu kewangan, Bos Gaurus membawa masuk sembilan muka baharu untuk menguatkan pasukan bagi menghadapi pusingan kedua Liga Malaysia (Liga M).

“Saya mahu mencuba Machell di bek tengah kerana kecederaan yang dialami Jad Nourredin,” kata Yee Fatt, yang mahu menguji gandingan pemain itu di benteng bersama Idris Ahmad, Amirul Azhan Aznan dan Rafiuddin Rodin.

Perak yang kini menduduki tangga ketiga tercorot akan menyambung kempen Liga Super dengan menentang pasukan tempat kedua, Terengganu pada 24 Julai, diikuti Kuala Lumpur FC, tiga hari kemudian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya