KUANTAN: Perlawanan menentang Melaka FC di Stadium Darul Makmur di sini malam ini adalah permulaan terbaik untuk Tok Gajah memulakan rentak kemenangan setelah membentuk pasukan baharu selepas agak terumbang ambing sebelum ini.
Jurulatih Sri Pahang, Dollah Salleh tidak sabar melihat anak-anak buahnya kembali meneruskan rentak kebangkitan yang diraih dengan menewaskan UiTM 5-0 sebelum seri 2-2 menentang Selangor selepas mula membentuk skuad baharu sebelum Liga Super berehat.
Sri Pahang sanggup berbelanja besar mendapatkan empat pemain import baharu berikutan prestasi hambar barisan pemain import di awal musim saingan sehingga memaksa Dollah kembali mengemudi Tok Gajah pada pertengahan musim.
Ketika itu, prestasi yang dipersembahkan penyerang import dari Ukraine, Yevhen Bokkashviki dan Pedro Henrique dan Mamadou Wague, selain Lee Tuck dan Herold Goulan nyata amat mengecewakan pengurusan serta penyokong Sri Pahang.
Tindakan membawa masuk Aung Kaung Mann dari Myanmar, Hildago dari Argentina, Abu Bakar Yakubu dari Ghana dan Kenny Anthiu dari Austalia di samping mengekalkan Herold Goulan nyata memberi impak besar kepada Tok Gajah yang pernah menghuni di tangga ke dua tercorot kembali bersaing untuk berada di tangga ke sembilan ketika ini.
Pemain tempatan skuad itu juga kini semakin bersemangat memberi saingan kepada pemain import dan terus berusaha menambat hati Dollah untuk mengisi kesebelasan utama Tok Gajah.
“Lima pemain import sudah bersedia untuk diturunkan malam esok (hari ini), malah semua pemain tempatan juga bersaing sengit memnburu tempat dalam kesebelasan utama,” kata Dollah kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dollah berharap Sri Pahang mendapat tiga mata terutama di gelanggang sendiri selepas hanya mampu berkongsi mata selepas kedudukan terikat 0-0 pada pertemuan pusingan pertama di Melaka.
Bekas pemain kebangsaan itu berharap anak buahnya tidak terlalu selesa dengan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan kerana Sang Kancil juga telah banyak melakukan perubahan pemain import dan tempatan.