SPIELBERG, Austria: Pemandu Red Bull, Max Verstappen terus meninggalkan Lewis Hamilton dalam kedudukan pendahulu dunia apabila melakar kemenangan ketiga berturut-turut dengan menjuarai Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Austria sebentar tadi.
Kemenangan itu amat mengujakan Verstappen kerana ini kali pertama perlumbaan F1 dibuka kepada penonton dengan kapasiti penuh sejak dunia diserang pandemik Covid-19.
Verstappen yang sebelum ini menjuarai GP Perancis dan Styria mengungguli kejuaraan dunia dengan 182 mata, 32 mata meninggalkan juara dunia, Hamilton.
Hamilton hanya mampu menamatkan perlumbaan di tangga keempat, manakala rakan sepasukannya dari Mercedes, Valtteri Bottas di tempat kedua dan pemandu McLaren, Lando Norris ketiga.
“Pemanduan hari ini amat menyeronokkan. Saya kagum dengan perjalanan perlumbaan.
“Bukan mudah untuk memenuhi jangkaan apabila anda diletakkan sebagai pilihan. Dua minggu ini amat menakjubkan,” kata Verstappen. – AFP