JOHOR BAHRU: Faktor keletihan diakui menjadi punca UiTM FC gagal untuk mengekang kemaraan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang meraih kemenangan 3-1 biarpun mereka terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada aksi Liga Super malam kelmarin.
Jurulatih UiTM FC, Frank Bernhardt berkata, turun tanpa beberapa pemain utama dan terpaksa mengisi kekosongan itu dengan membawa masuk pemain bawah 21 tahun menjadi misi untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata tidak kesampaian.
Jelasnya, pada awal permainan pasukannya bermain dengan baik dari setiap sudut dan memaksa pasukan tuan rumah untuk berkerja keras untuk merobek benteng pertahanan hingga membuka ruang untuk melakukan serangan balas dan mencipta jaringan.
“Bagaimanapun, pemain gagal mengekalkan disiplin dan momentum yang ditunjukkan pada babak pertama setelah tahap kecergasan pemain merosot pada separuh masa kedua yang membuka ruang buat pasukan lawan memburu gol pembukaan.
“Semangat juang yang dipamerkan pada awal permainan juga semakin merudum apabila pemain bawah 21 tahun itu tampak keletihan dan tidak lagi mampu mengekalkan rentak yang sama pada babak kedua.
“Bagi saya, ini adalah satu keputusan yang mengecewakan namun kebarangkalian untuk kami mengutip tiga mata di sini adalah mustahil. Hasrat untuk membawa pulang satu mata juga tidak kesampaian,” katanya dalam sidang akhbar malam kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, juara liga tujuh kali itu meledak tiga gol hasil jaringan Gonzalo Cabrera, Safawi Rasid dan Bergson Da Silva pada separuh masa kedua memadamkan gol pembukaan jaringan Joel Vinicius Silva.
Kekalahan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat ketua jurulatih kelahiran Jerman itu untuk memburu kemenangan pertama buat pasukan UiTM yang menghuni tempat tercorot dalam liga selepas mengutip hanya dua mata menerusi 14 perlawanan.
“Setiap pasukan mempunyai gaya permainan yang berbeza. Jadi kami perlu mencari resepi yang tepat untuk membolehkan kami mendapatkan kemenangan pertama dalam Liga Super musim ini,” katanya.