LONDON: England dijangka menukar kesebelasan utama dan taktik untuk menajamkan jentera serangan bagi memastikan Wembley bertukar menjadi ‘kawanan’ singa apabila berdepan pasukan penuh ‘emosi’ Denmark dalam separuh akhir Euro 2020 esok.
Biarpun sering meletakkan tiga pertahanan dalam kebanyakan perlawanan, namun benteng England amat kukuh setakat ini dengan tidak pernah bolos selepas lima saingan.
Justeru, Harry Maguire, Kyle Walker dan John Stones sekali lagi dijangka mengetuai pertahanan bersama penjaga gol, Jordan Pickford.
Apa yang menimbulkan tanda tanya ketika, bahagian serangan dan tengah yang mahu dipersembahkan oleh England bagi memastikan mereka benar-benar ‘seganas’ singa.
Harry Kane dan Raheem Sterling yang berada dalam pemburuan Kasut Emas dengan tiga gol hampir pasti kekal dalam kesebelasan utama.
Pengendali England, Gareth Southgate kini perlu membuat keputusan penting untuk memastikan serangan Three Lions benar-benar menggerunkan apabila berdepan Denmark.
LIMA PEMAIN MAMPU UBAH PERMAINAN
JACK GREALISH
PENYERANG Aston Villa ini menunjukkan prestasi cemerlang sama ada dalam kesebelasan utama atau ketika masuk sebagai gantian dengan sering mencipta gerakan bahaya.
Tidak diturunkan dalam suku akhir menentang Ukraine di Stadio Olimpico, jadi pemain berusia 25 tahun itu amat segar jika mahu diturunkan dalam kesebelasan utama esok.
“Saya dilahirkan untuk ini, tidak sabar hendak menunggu (perlawanan England),” katanya ketika masuk sebagai pemain gantian dan mencipta gerakan gol yang disempurnakan oleh Kane dalam kemenangan 2-0 ke atas Jerman.
PHIL FODEN
FODEN mengharungi musim cemerlang bersama Manchester City dengan meledak 16 gol. Menjadi pilihan dalam dua aksi pertama England tetapi tidak bermain sejak seri 0-0 menentang Scotland.
Pemain berusia 21 tahun itu masih mampu menjadi senjata jika diturunkan oleh Emgland dalam pertemuan esok.
JADON SANCHO
KETIKA England bergelut untuk mencipta peluang di peringkat kumpulan, Southgate dikritik hebat kerana tidak menurunkan Sancho. Dia hanya masuk sebagai gantian di hujung permainan dalam satu daripada empat perlawanan.
Bagaimanapun ketika menentang Ukraine di Rome, skil menggelecek bola, permainan pantas dan kemahiran dimiliki pemain berusia 21 tahun itu menarik perhatian ramai.
BUKAYO SAKA
PEMILIHANNYA dalam skuad 26 pemain ke Euro mengenepikan Jesse Lingard mengejutkan banyak pihak.
Pemain berusia 19 tahun itu bagaimanapun cepat mencuri hati peminat dengan aksi licik, bertenaga dan tenang ketika menentang Republik Czech dan Jerman. Malangnya dia tidak dapat diturunkan ketika bertemu Ukraine akibat kecederaan.
MARCUS RASHFORD
ANTARA pemain berpengalaman yang dibawa dalam skuad Euro, namun hanya membuat satu penampilan setakat ini.
Rashford yang meledak 12 gol dalam 45 aksi antarabangsa masih mampu memainkan peranan penting buat England untuk memburu kejuaraan Eropah pertama jika diturunkan. – AGENSI