SAINT PETERSBURG: Peminat bola sepak menghambur pujian kepada Thiago Alcantara selepas bintang tengah Sepanyol itu antara pemain terawal tampil menenangkan pemain Switzerland, Ruben Vargas selepas tamat perlawanan suku akhir Euro 2020 awal pagi tadi.
Sepanyol menyingkirkan Switzerland menerusi penentuan sepakan penalti 3-1 selepas permainan sebenar berakhir 1-1. Keputusan itu amat memberi kesan besar kepada Vargas.
Selepas sepakan yang diambil Fabian Schar dan Manuel Akanji berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Sepanyol, Unai Simon, tendangan Vargas pula melambung tinggi melewati palang untuk membuka ruang buat Mikel Oyarzabal menyudahkan gol kemenangan.
Vargas tidak dapat menahan kesedihan sebaik saja wisel penamat dibunyikan dan menangis di tengah padang. Menyedari situasi itu, bintang tengah Liverpool, Thiago segera menghampiri pemain berusia 22 tahun tersebut, menenangkannya sambil memberikan kata-kata pembakar semangat.
Tidak lama kemudian, rakan sepasukannya di Liverpool, Xherdan Shaqiri datang memeluknya sebagai tanda terima kasih di atas semangat kesukanan yang dipamerkan.
Thiago juga dilihat menenangkan penjaga gol lawan, Yann Sommer yang menyelamatkan sepakan penalti pemain Manchester City, Rodri untuk membolehkan Switzerland bertahan sehingga ke penentuan penalti. – AGENSI