PETALING JAYA: Tiada keajaiban berlaku seperti yang diharapkan Kedah dan Terengganu selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) secara rasmi hari ini mengesahkan semua perlawanan Piala AFC melibatkan Kumpulan G, H dan I dibatalkan sepenuhnya.
Biarpun masih cuba mencari ‘talian hayat’ sejak tiga hari lalu dan membawa masuk dua pasukan baharu dari Kemboja serta Timor Leste, namun AFC berkata, tiada negara sanggup menjadi tuan rumah untuk menganjurkan kejohanan secara berpusat ekoran pandemik Covid-19.
Badan bola sepak Asia itu bagaimanapun berkata, perlawanan Piala AFC untuk zon lain diteruskan kerana tidak berdepan masalah venue pertandingan
“AFC hari ini mengesahkan bahawa semua perlawanan Zon Asean Piala AFC 2021 yang terdiri daripada Kumpulan G, H dan I serta aksi playoff dibatalkan kerana cabaran yang ditimbulkan oleh wabak Covid-19 di mana agak sukar untuk negara menjadi tuan rumah secara berpusat,” kata kenyataan itu.
Pengesahan itu pastinya menyedihkan buat Terengganu dan satu lagi wakil negara di pentas sama , Kedah yang sudah melakukan pelbagai persiapan untuk menghadapi saingan kedua tertinggi peringkat kelab Asia selepas Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Kedah meraih slot Piala AFC selepas muncul naib juara Liga Super musim lalu, manakala Terenggani di tempat ketiga.