LONDON: Pemain England akan menyumbang wang kemenangan Euro kepada Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) jika menewaskan Itali dalam final, esok.
Persatuan Bola Sepak England (FA) akan menerima sekitar 24 juta pound (RM139.7 juta) jika merangkul kejuaraan Eropah buat kali pertama.
Daripada jumlah itu, barisan kejurulatihan dan 26 pemain akan menikmati 40 peratus atau 9.6 juta pound (RM55.9 juta).
“Selepas berbincang dengan FA, skuad England mengesahkan sebahagian hadiah kemenangan akan disumbang kepada NHS menerusi inisiatif #PlayersTogether,” menurut FA dalam satu kenyataan.
Jika Three Lions tewas kepada Itali, mereka akan meraih sekitar 8.5 juta pound (RM49.5 juta).
Bagaimanapun jumlah sumbangan belum muktamad kerana perlu melalui proses pemotongan cukai.
Pada April tahun lalu, bintang tengah England, Jordan Henderson dan pertahanan mereka, Harry Maguire membantu projek amal Players Together dengan menyalurkan 4 juta pound (RM23.3 juta).
Mereka berjanji akan menyalurkan dana secepat mungkin ke tempat yang terkesan dengan Covid-19 bagi membantu kakitangan NHS, sukarelawan dan pesakit. – AGENSI