PETALING JAYA : Skuad terjun negara sudah memulakan sesi latihan di kolam renang, kelmarin selepas sekadar menjalani latihan di gimnasium sejak hari pertama tiba di Tokyo.
Biarpun sudah merasai suasana kolam di Pusat Akuatik Tokyo ketika bertanding di Piala Dunia FINA Mei lalu, namun ia tetap menghadirkan perasaan berbeza buat skuad terjun negara.
Penampilan kelima di temasya terbesar dunia itu, Leong Mun Yee mengakui sasaran yang diletakkan memberi sedikit tekanan tetapi dia dan rakan sepasukannya sudah bersedia untuk berjuang.
“Diletakkan sasaran pingat kali ini, tanpa mengira warna pingat mungkin memberi sedikit tekanan tetapi kami sudah bersedia.
“Saya sendiri telah menetapkan sasaran (mendapatkan pingat) dua tahun lalu dan memang bekerja ke arah itu.
“Hari pertama tiba sedikit letih kerana hanya tidur tiga jam lebih dalam kapal terbang tetapi berasa semakin baik pada hari esoknya.
“Isnin kami hanya berlatih di gimnasium sebelum turun ke kolam pada esoknya dan semuanya berjalan dengan baik di sini,” kata Mun Yee.
Skuad terjun bersama basikal dan badminton diletakkan sasaran untuk meraih pingat pada temasya yang bakal berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos ini.
Selain Mun Yee, empat lagi rakan sepasukannya, Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng Yan Yee, Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong turut bersaing di temasya berkenaan.