KUALA NERUS: Selepas sembilan tahun menanti untuk beraksi dalam Piala AFC, pembatalan kejohanan memberi kesan buat pasukan yang telah berbelanja besar dan melakukan persiapan terbaik sejak beberapa bulan lalu, kata jurulatih Terengganu FC, Mohd. Nafuzi Zain.
Nafuzi mengakui amat kecewa sebaik saja badan bola sepak Asia, AFC mengesahkan aksi Kumpulan G, H dan I tidak dapat ‘diselamatkan’, namun tiada apa yang boleh dilakukan kerana situasi Covid-19 menyebabkan tiada siapa sanggup menawar diri menjadi tuan rumah.
“Terengganu tiada pilihan selain melupakan kekecewaan gagal beraksi dalam Piala AFC, sebaliknya kembali merebut slot ke kejohanan itu pada 2022.
“Saya harap pemain dapat mengekalkan rentak dalam Liga Super yang akan bersambung tiga minggu lagi,” katanya kepada pemberita semalam.
Biarpun AFC cuba mencari ‘talian hayat’ sejak tiga hari lalu dan membawa masuk dua pasukan baharu dari Kemboja serta Timor Leste, namun badan bola sepak Asia itu berkata, tiada negara sanggup menjadi tuan rumah untuk menganjurkan kejohanan secara berpusat ekoran Covid-19.
“AFC hari ini mengesahkan semua perlawanan Zon Asean Piala AFC 2021 yang terdiri daripada Kumpulan G, H dan I serta aksi playoff dibatalkan kerana cabaran yang ditimbulkan oleh wabak Covid-19 di mana agak sukar untuk negara menjadi tuan rumah secara berpusat,” kata kenyataan itu semalam.