PETALING JAYA: Selepas menempuh perjalanan ‘melelahkan’ dengan kawalan keselamatan amat ketat, pemandangan indah menghadap sungai di Perkampungan Olimpik memberi ketenangan buat atlet negara sebaik saja menjeja kaki ke bilik penginapan.
Jaguh badminton, Chan Peng Soon, penembak negara, Nur Suryani Taibi dan penerjun, Pandelela Rinong antara yang terpesona melihat pemandangan yang akan dinikmati mereka sepanjang dua minggu di Tokyo.
Nur Suryani, 39, menzahirkan rasa syukur kerana ditempatkan menghadap bandar Tokyo dan sungai di Harumi, Futo.
“Ya, saya dapat tempat yang menarik. Alhamdulillah, pemandangannya sangat cantik.
“Bab keselamatan di sini saya tak berani nak kongsi tapi insya-Allah esok kami akan pergi ke lapangan dan tengok macam mana untuk berlatih,” kata Nur Suryani ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Nur Suryani menamatkan acara 10 meter Air Rifle individu di kedudukan ke-34 dalam penampilan sulung Olimpik London 2012.
Dia akan turun ke gelanggang pada Sabtu ini, iaitu sehari selepas upacara pembukaan.
Sementara itu, pemenang pingat perak Rio 2016, Peng Choon pula berkongsi keterujaan dengan memuat naik video ringkas di media sosial.
“Macam mana pemandangan saya. Ini dari balkoni. Saya akan menetap di sini untuk tempoh dua minggu.
“Saya dapat pemandangan indah untuk ruang bilik yang terhad.
“Bagaimanapun keselamatan adalah segala-galanya,” katanya yang meraih pingat perak bersama Goh Liu Ying dalam beregu campuran di temasya terakhir.
Bersama Liu Ying, Peng Soo, 33, sekali lagi menjadi sandaran Malaysia untuk membawa pulang pingat dalam temasya Tokyo.
Pemenang dua pingat Olimpik, Pandelela turut teruja melihat pemandangan indah di Perkampungan Olimpik dengan memuat naik video di InstaStory sebaik saja tiba di bilik penginapan.
“Hi, inilah bilik saya, inilah pemandangan saya dan itu rakan sebilik saya (Nur Dhabitah Sabri),” kata Pandelela, yang menunjukkan gambar di luar balkoni.
Kontinjen negara melibatkan atlet renang, terjun, badminton, memanah dan gimnastik telah selamat tiba di Tokyo pagi semalam, dengan kesemuanya termasuk jurulatih serta pegawai ditempatkan di Perkampungan Olimpik di Harumi, Futo.