MUNICH: Roberto Martinez menjangkakan Itali akan menyerang dan sangat tersusun ‘dari saat pertama’, situasi yang amat memerlukan kehadiran Kevin de Bruyne untuk memimpin serangan balas Belgium.
Malangnya, keadaan perancangan utama Manchester City, De Bruyne yang masih tidak menentu akibat kecederaan meresahkan Red Devils menjelang pertemuan suku akhir di Allianz Arena esok.
De Bruyne dan Eden Hazard masih tidak kelihatan pada sesi latihan Belgium semalam, namun kedua-dua pemain berpengaruh itu tetap disenaraikan oleh Martinez.
Martinez mengakui, pasukan perubatan bekerja keras setiap hari bagi memastikan dua tonggak tengah itu cergas untuk menghadapi skuad Azzurri.
“Kevin dan Eden kekal dalam skuad.
“Mereka mungkin tidak cergas sepenuhnya untuk menentang Itali, namun mungkin boleh diteruskan dalam separuh akhir jika kalau layak atau bermain di hujung permainan. Semuanya 50-50,” kata jurulatih Belgium itu.
De Bruyne dikeluarkan dalam pertemuan menentang Portugal, Isnin lalu akibat kecederaan buku lali manakala Eden berdepan masalah hamstring.
Adik Eden, Thorgan Hazard yang meledak gol ‘roket’ ketika Belgium menyingkirkan juara bertahan, Portugal 1-0 bersedia untuk mengetuai bahagian tengah, manakala penyerang sensasi, Romelu Lukaku mengetuai serangan.
Bintang Atletico Madrid, Yannick Carrasco dijangka mengisi ketiadaan Hazard dan penyerang Napoli, Dries Mertens menggantikan De Bruyne.
Pencapaian terbaik Belgium dalam Kejohanan Eropah adalah muncul naib juara 1980. Dikenali sebagai ‘generasi emas’ Red Devils, skuad bimbingan Martinez menduduki tangga ketiga pada Piala Dunia 2018. – AGENSI