SEGAMAT: Melihat bidikan tepat anak panah ke sasaran oleh pemanah wanita negara, Syaqiera Mashayikh menggunakan tangan kanannya sama sekali tidak menyangka anak kelahiran Felda Medoi itu sebenarnya lebih dominan bertangan kiri atau kidal.
Perkara itu hanya diketahui setelah dikongsikan bapanya, Mashayikh Subari, 57, selepas atlet berusia 21 tahun itu menentang pemanah No. 4 dunia dari Rusia, Elena Osipova kelmarin.
Syaqiera gagal meneruskan kemaraan selepas tewas 4-6, namun prestasinya dalam penampilan sulung di Sukan Olimpik mendapat pujian, termasuk kejayaan memecah rekod peribadi dengan catatan 630 dalam saingan penentuan ranking.
Kata Mashayikh, anaknya yang mula menunjukkan minat dalam sukan memanah sejak berusia 10 tahun di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Medoi itu sehingga kini masih menulis menggunakan tangan kiri, namun setiap kali turun beraksi dia sudah terlatih bertangan kanan.
“Sebenarnya anak saya itu dilahirkan dengan tangan kidal, namun gurunya sentiasa membantu memberi bimbingan menggunakan tangan kanan. Dia dilatih menggunakan tangan kanannya untuk memanah.
“Jika tidak, dia terpaksa menggunakan peralatan memanah khusus yang memerlukan kos lebih tinggi, malah saya turut membelikan busur dan anak panah bernilai RM1,000 ketika itu bagi memudahkannya menjalani latihan bersama gurunya,” katanya ketika ditemui di Felda Medoi semalam.
Sebelum ini, penuntut semester satu jurusan Komunikasi Massa di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang itu menerima kejutan apabila dipilih beraksi di Sukan Olimpik buat pertama kali dalam acara recurve individu wanita.
Baru-baru ini, Syaqiera turut diberikan anugerah Ikon Sukan Majlis Belia Daerah Segamat selain Sijil Penghargaan Cucu Felda Medoi oleh pengurusan Felda Wilayah kerana mewakili negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Lebih menggembirakan kata Mashayikh, pengesahan Syaqiera layak beraksi di sukan berprestij itu diketahui sehari sebelum sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-57 tahun pada 2 Julai lalu.
“Syaqiera memaklumkan kepada keluarga mengenai kejayaan terpilih mewakili negara ke Sukan Olimpik pada 1 Julai lalu. Kebetulan hari lahir saya jatuh pada 2 Julai keesokan harinya, jadi ia adalah hadiah hari lahir paling bermakna dalam hidup saya.
“Kejayaan Syaqiera hari ini adalah hasil usaha gigih semua gurunya sehinggalah ke sekolah menengah dan para jurulatih. Sejak dibangku sekolah, dia telah berjaya mengumpul koleksi sekurang-kurangnya 60 pingat selain pelbagai sijil penghargaan,” katanya.
Sementara itu, ibunya, Badariah Jamal, 44 berkata, sejak berada di Jepun, hampir saban hari anaknya akan menghubungi mereka di kampung jika berkelapangan kerana perbezaan masa hanya awal sejam di negara matahari terbit itu.
“Dia amat menggemari masakan ayam masak kicap yang dipanggil semur ayam dalam bahasa Jawa hasil air tangan saya,” katanya yang memaklumkan cita-cita anaknya mahu menjadi jurulatih memanah negara suatu hari nanti.