PETALING JAYA: Syaqiera Mashayikh melengkapkan penampilan pertamanya dalam Sukan Olimpik dengan menduduki tangga ke-43 pada penentuan ranking memanah recurve individu wanita di Yumenoshima Park, Tokyo sebentar tadi.
Pemanah kelahiran Segamat berusia 21 tahun itu berjaya mengatasi catatan peribadi terbaiknya sebelum ini, 619 mata dengan mencatat 630 mata.
Seperti diduga, pemanah Korea Selatan mengungguli kedudukan 1-2-3, malah An San yang menerajui saingan memecah rekod Olimpik menerusi 680 mata.
Catatan itu memadam rekod lama milik pemanah Ukraine, Lina Heraysmenko iaitu 673 yang dilakukan pada temasya Atlanta 1996.
Syaqiera yang menghuni ranking ke-355 dunia bakal berdepan atlet Rusia, Elena Osipova pada peringkat penyingkiran, Selasa depan.