PETALING JAYA: Syaqiera Mashayikh gagal melangkah jauh pada penampilan pertamanya dalam Sukan Olimpik selepas tewas 4-6 kepada pemanah No. 4 dunia, Elena Osipova di pusingan pertama recurve wanita di Lapangan Memanah Yumenoshima Park, sebentar tadi.
Syaqiera bermula cemerlang apabila mendahului 2-0 pada set pertama dengan meraih 26 mata, satu mata meninggalkan pencabar dari Rusia.
Kedudukan bagaimanapun terikat 2-2 pada set kedua selepas Osipova berjaya memperoleh 28 mata, manakala Syaqiera sekadar memungut 26 mata.
Aksi sengit dipamer dua pemanah tersebut dalam dua set berikutnya dengan Syaqiera berjaya mengekori Osipova selepas masing-masing mengumpul 26 mata pada set ketiga dan 25 mata dalam set keempat.
Bagaimanapun bidikan cemerlang Elena pada pusingan penentuan membolehkannya meraih 29 mata, menewaskan Syaqiera dengan 23 mata.
Syaqiera, 21, sebelum ini berjaya memperbaharui rekod peribadi terbaik dengan catatan 630 mata ketika beraksi dalam penentuan ranking.