LONDON: Ratusan peminat berbaris di tepi jalan hari ini untuk bersorak buat pasukan England ketika bas yang membawa pemain melalui kawasan sekitar pusat latihan menuju ke Wembley menjelang final Euro 2020.
Pegawai polis dan petugas lebuh raya terpaksa mengawal orang ramai di sepanjang jalan dari St George’s Park berhampiran Burton, Staffordshire.
Teriakan ‘Come on England!’ kedengaran sepanjang perjalanan ketika bas England yang diringi oleh polis melalui kawasan orang ramai.
Situasi hangat itu mengejutkan pemain dan pegawai England kerana suara mereka boleh kedengaran jelas di dalam bas.
“Apa yang berlaku di luar sana?,” kata seorang pegawai yang berada di dalam bas.
Kapten Three Lions, Harry Kane sempat menulis dalam Twitter ‘Macam tidak benar’ sambil berterima kasih kepada penyokong atas sokongan berterusan sepanjang kempen kejohanan.
Unreal send off. The support for the team has been incredible all tournament ????????❤️ https://t.co/ahLl7WwySO
— Harry Kane (@HKane) July 10, 2021
“Kami tahu betapa besar maknanya perlawanan ini buat seluruh penyokong England dan negara, jadi kami berbangga mewakili mereka. Semoga kami dapat membanggakan mereka lagi,” kata Kane dalam sidang akhbar.
Walaupun hanya 60,000 peminat dapat memasuki Wembley untuk menonton perlawanan terbesar England selepas 55 tahun, namun ramai yang dijangka melakukan perjalanan ke London untuk mencuba nasib selain merasai suasana meriah di ibu kota London.
Polis berulang kali meminta mereka yang tidak mempunyai tiket agar tidak datang ke London bagi mengelak penularan wabak Covid-19.
Jumlah penonton televisyen dijangka melonjak melepasi 26.7 juta yang dicatat pada separuh akhir menentang Denmark, Rabu lalu dan memecah rekod 32.3 juta yang ditetapkan semasa final Piala Dunia 1966. – AGENSI