Siapa lebih 'power'? - Utusan Malaysia

Siapa lebih ‘power’?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pertarungan sukar ­dijangka dan tiada istilah pasukan pilihan.

Kejuaraan Eropah 2020 boleh menjadi milik Itali mahupun England kerana kedua-dua pasukan memiliki kekuatan setara di semua posisi.

Jika Azzurri memburu kejuaraan pertama selepas 53 tahun, iaitu sejak kali terakhir muncul juara pada 1968, Three Lions pula tidak pernah menang sejak kejohanan dipertandingkan pada 1960.

Perlawanan akhir di Stadium Wem­bley esok dianggap ‘final Euro paling ­ideal’ kerana kedua-dua pasukan tidak kalah sepanjang kejohanan, beraksi konsisten di semua posisi pertahanan, tengah mahupun serangan.

Anak-anak buah Roberto Mancini meledak 12 gol dan bolos tiga kali dalam enam perlawanan, England yang dibim­bing Gareth Southgate pula menjaringkan 10 gol dengan hanya dibolosi sekali menerusi iaitu sepakan bekas ketika menewaskan Denmark 2-1.

Satu-satunya kebimbangan England menjelang final adalah hilangnya kelibat Phil Foden dalam latihan semalam sebagai langkah berjaga-jaga kerana isu kecederaan.

Dua tonggak veteran Itali, Giorgio Chiellini dan Leonardo Bonucci pula mengakui, berdepan tugas berat untuk mengekang tenaga muda England seperti Harry Kane (27 tahun), Raheem Sterling (26), Mason Mount (22) dan remaja berusia 19 tahun, Bukayo Saka.

Chiellini sudah menjangkau usia 36 tahun, manakala Bonucci 34 tahun.

Giorgio Chiellini dan Leonardo Bonucci menjadi sandaran untuk ‘merantai’ England.

“Kami hanya memikirkan tentang bola sepak dan cuba berseronok. Di atas padang ada pertunjukan terbaik untuk dipersembahkan kepada bola sepak dan dunia, dari Itali, England dan pengadil.

“Orang muda menentang lelaki tua..,” kata Bonucci sambil tersenyum.

Sementara itu, Southgate mengagumi ‘karya’ moden Ro­berto Mancini, selain pengaruh besar jurulatih Itali itu terhadap Azzurri.

Kata Southgate, Mancini te­lah merubah Itali sehinggakan gaya permainan mereka hampir tidak dapat dikenali berbanding pasukan yang pernah ditentang ketika zamannya sebagai pemain.

“Mereka mempunyai cara bermain yang sangat jelas, semangat yang hebat, tenaga yang menakjubkan dalam cara mereka bermain. Secara taktikal Itali memiliki pasukan yang bagus.

“Gaya permainan mereka juga sudah berbeza berbanding pasukan Itali yang saya ikuti sejak kecil. Mereka sangat mo­den,” kata Southgate.

Mancini pula berkata, England berhak berada dalam perlawanan akhir kerana memiliki barisan yang mantap dan amat sukar digugat.

Katanya, pertembungan England-Itali esok adalah final yang menarik kerana kedua-dua mereka pasukan paling konsis­ten dalam kempen kali ini, selain tidak pernah kalah.

“Saya rasa mereka layak ­berada di final kerana England adalah pasukan yang mampu memberi anda kebimbangan dengan barisan pemain terbaik. Ia akan menjadi perlawanan akhir yang hebat,” kata Mancini.

Bagaimanapun jurulatih berusia 57 tahun itu yang membawa pasukannya mengharungi 33 perlawanan tanpa kalah menegaskan, melangkah ke final tidak mencukupi buat Azzurri, sebaliknya mereka mahukan ­kejuaraan.

“Mara ke pentas akhir adalah pencapaian yang bagus tetapi ia belum cukup. Kejayaan hanya akan tiba apabila kami memenanginya pada Ahad ini.

“Kami mengharungi dengan baik, namun menjuarai kejohanan ini adalah perkara yang kami harapkan,” kata Mancini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya