TOKYO: Hidup Hidilyn Diaz berubah 360 darjah sejak memenangi pingat emas Sukan Olimpik pertama buat Filipina dalam tempoh 97 tahun.
Selepas diberi ganjaran wang tunai 33 juta peso (RM2.77 juta), bintang angkat berat itu turut dijanjikan sebuah kondominium di Eastwood, sebuah rumah serta tanah di Luzon.
Hidilyn, 30, juga bakal menikmati bekalan petrol seumur hidup serta penerbangan percuma.
Philippine Airlines menawarkan Hidilyn 80,000 perbatuan percuma setiap tahun, manakala AirAsia menawarkan atlet kelahiran Zamboanga itu penerbangan percuma seumur hidup.
“Kami mahu ASEAN percaya mereka mampu melakukannya.
”Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Hidilyn mengingatkan kita betapa berat bebanan yang dipikul dengan kekuatan dalaman serta ketabahan dapat membantu kita mengatasinya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.
Semalam, Megaworld mengumumkan sebuah unit kondominum bernilai 14 juta peso (RM1.18 juta) menanti Hidilyn.
Sebuah lagi syarikat perumahan Filipina, PHirst Park Homes membenarkan atlet itu memilih sendiri rumah yang diinginkan menerusi projek yang baru dibangunkan di Tanza dan General Trias City (Cavite), Bandar Lipa serta Nasugbu di Batangas, Bandar San Pablo dan Bandar Calamba di Laguna, Pandi (Bulacan) dan Magalang (Pampanga).
Hidilyn yang turut mencuri tumpuan peminat Malaysia kerana menjalani latihan di Jasin, Melaka dalam persiapan menghadapi Olimpik mencetus fenomena selepas meraih pingat emas angkat berat 55 kilogram kelmarin. – AGENSI