'Selamat tinggal sukan Olimpik - Utusan Malaysia

‘Selamat tinggal sukan Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Goh Liu Ying belum mengucap selamat tinggal kepada badminton, namun mengakui penampilannya di Tokyo adalah yang terakhir dalam Sukan Olimpik.

Sudah beraksi dalam tiga temasya, pemain beregu campuran negara itu sekali lagi meninggalkan kata-kata penuh emosi di media sosial selepas menutup kempen tanpa sebarang kemenangan ekoran ketiga yang dialami semalam.

Kecederaan lutut berulang menyebabkan Liu Ying gagal memberikan aksi terbaik bersama pasangannya, Chan Peng Soon, sekali gus tidak dapat mempertahankan pingat perak yang dimenangi di Rio 2014.

“Terima kasih kepada anda semua kerana sentiasa positif, kegigihan saya dalam sukan badminton kerana anda semua. Saya harap anda akan sentiasa ingat Goh Liu Ying bila bercakap tentang beregu campuran,” katanya.

Ketika ditanya apakah ini bayangan perpisahan dan dia akan bersara selepas Olimpik, pemain kelahiran Melaka itu membalas, dia masih akan terus berjuang.

“Bukan ingin bersara tapi ini Olimpik terakhir saya, sebab itu saya sedikit bermosi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Liu Ying, 32, mengakui, kempennya dalam Sukan Olimpik kali ini tidak seperti yang diharapkan apabila mereka kalah kepada pasangan China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping, Mark Lamfuss-Isabel Herttrich (Jerman) dan Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong.

“Saya tahu anda semua mahu yang terbaik, tapi saya tidak mampu beri yang terbaik seperti anda mahukan. Saya hargai orang yang memahami dan mengenali saya, memberi perhatian dan kesungguhan ketika saya memerlukannya,” kata Liu Ying.

Liu Ying juga mengakui, antara soalan yang sukar dijawab sebelum berlepas ke Olimpik, apakah penundaan temasya memberi kesan dan bagaimana proses pemulihan anda.

“Sejujurnya, saya sering menganggap mereka mempermainkan saya. Namun, jawapan rasmi saya selalu, saya tidak melihat ia sebagai masalah utama kerana kami memiliki lebih banyak pengalaman berbanding pemain yang lebih muda .

“Saya cuba untuk tidak mengatakan perkara sebenar, bimbang orang mungkin menuduh kami tidak bercita-cita tinggi dan mengaku kalah sebelum turun berjuang.

“Sebenarnya mesej yang ingin saya sampaikan…kecederaan dan kesakitan adalah perkara biasa dalam sukan ini.

“Saya hanyalah atlet biasa yang memiliki kelemahan iaitu kecergasan fizikal dan sering berdepan kecederaan. Memang saya tidak bersinar bagaikan permata di dalam gelanggang tapi saya mempunyai keyakinan yang teguh dan bersemangat tinggi,” katanya.

Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon ketika menentang pasangan Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich.

Kata Liu Ying, selepas menjalani pembedahan lutut doktor menasihatinya agar lebih panjang, namun dia pulang ke gelanggang awal kerana bergegas untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

“Saya mula menyertai pertandingan setelah berehat enam bulan sedangkan doktor saya menyuruh saya berehat selama sembilan bulan. Beberapa doktor, malah meminta saya berhenti bermain,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya