LONDON: Harry Maguire berkata, dia tidak gentar dengan karier antarabangsanya susulan prestasi terumbang-ambing pada musim 2020, sehingga menimbulkan tanda tanya buat Manchester United, termasuk England.
Pertahanan skuad Red Devils ditahan sewaktu bercuti di Mykonos, Greece, sebelum dibuang padang ketika mewakili Three Lions ketika berdepan Denmark pada Oktober lalu.
Maguire menerima tamparan hebat susulan kontroversi tersebut, namun kedua-dua pengendali, Gareth Southgate dan Ole Gunnar Solskjaer tampil memberi sokongan moral kepada pemain tersebut.
“Saya tidak takut dengan karier antarabangsa saya. Saya tidak mahu meingatkan kembali kisah tahun lepas terutama insiden musim panas.
“Saya tahu di mana saya berdiri, saya sentiasa tahu bila saya perlu bertindak. Sudah tentu ia satu tempoh yang sukar, tetapi saya perlu terus maju.
“Gareth memberi sokongan yang sangat menakjubkan sejak saya membuat penampilan bersama England. Sejak itu, sewaktu saya boleh beraksi, saya memberikan segalanya.
“Ia berkaitan keyakinan, kepercayaan dan ketulusan. Setiap kali saya menjejakkan kaki di atas padang, saya cuba membayar kesemua itu,” kata Maguire.- AGENSI