LONDON: Gareth Southgate berkata, dia orang yang bertanggungjawab memilih pemain remaja, Bukayo Saka sebagai pengambil sepakan penalti terakhir ketika England tumpas kepada Itali dalam perlawanan akhir Euro 2020 hari ini.
Beraksi dalam final kejuaraan utama buat kali pertama sejak menjuarai Piala Dunia 1966, England tumpas 2-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri 1-1 dalam masa sebenar.
Southgate turut menyenaraikan dua pemain muda, Jadon Sancho serta Marcus Rashford untuk mengambil sepakan penalti, dan kedua-duanya gagal menyempurnakan sepakan.
“Saya yang memilih siapa akan mengambil penalti.
“Kami memutuskan untuk membuat perubahan di akhir permainan, tetapi kami menang atau kalah bersama sebagai satu pasukan.
“Saya sangat kecewa kerana tidak melangkah lebih jauh,” kata pengurus England itu kepada ITV.
Saka, 19, yang baru membuat lima penampilan antarabangsa sebelum Euro 2020 menyaksikan sepakan yang diambilnya diselamatkan oleh penjaga gol lawan, Gianluigi Donnarumma, setelah Jordan Pickford memberi harapan kepada Three Lions dengan menepis tendangan Jorginho.
“Itu keputusan saya untuk memberinya (Saka) penalti itu.
“Kami bekerja dengan mereka dalam latihan. Ia adalah perjudian,” kata Southgate, yang turut gagal menyempurnakan penalti ketika bergelar pemain dalam separuh akhir Euro 1996. England kalah kepada Jerman pada perlawanan itu. – AFP