LONDON : Sarah Storey mengintai peluang menjadi antara atlet paralimpik paling berjaya Britain selepas disenaraikan dalam pasukan berbasikal Para negaranya untuk penampilan kelapan di temasya itu.
Atlet berusia 43 tahun itu akan mempertahankan kejuaraan dalam acara C5 pecut individu, C5 ujian masa dan C4-5 acara lebuh raya.
Sepanjang penampilannya di Sukan Paralimpik, dia telah merangkul 14 emas dan jika dia mampu mempertahankan kejuaraan dalam tiga acara itu maka Sarah mampu untuk mengatasi pencapaian atlet renang, Mike Kenny yang mengumpul 16 pingat.
Keseluruhannya, 14 pelumba dipilih untuk bersaing dan membabitkan enam pelumba.
“Saya sangat berbangga untuk memberi sumbangan di Sukan Paralimpik dan teruja untuk berusaha mempertahankan tiga pingat emas yang saya menangi di Rio.
“Ia satu penghargaan yang sangat besar untuk membuat penampilan buat kali kelapan di Sukan Paralimpik,” kata Sarah yang memenangi 25 pingat secara keseluruhan.
Pasukan berkenaan turut menyenaraikan juara empat kali, Jody Cundy, Kadeena Cox, Steve Bate dan Lora Fachie serta penyertaan semula Crystal Lane-Wright, Neil Fachie, Aileen McGlynn, James Ball dan George Peasgood yang turut bertanding dalam triathlon.
Sementara penampilan pertama buat Jaco Van Gass, Sophie Unwin, Fin Graham dan Ben Watson.
Pengarah Prestasi Basikal British, Stephen Park yakin pasukannya mampu mencipta kejayaan pada temasya itu.- AGENSI