'Sanggup datang ke Kesang Tua demi misi memburu emas Olimpik - Utusan Malaysia

‘Sanggup datang ke Kesang Tua demi misi memburu emas Olimpik

AHMAD JANIUS Abdullah (kiri) dan Zakaria Hussain menunjukkan akhbar Utusan Malaysia yang memaparkan kejayaan Hidilyn Diaz meraih emas Olimpik Tokyo kelmarin. –UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Keazaman Hidilyn Diaz mahu memenangi pingat di Sukan Olimpik Tokyo, mendorong Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Ahmad Janius Abdullah menjadikan tempat letak kereta di rumahnya sebagai lokasi latihan buat atlet Filipina itu.

Rumahnya di Batu 19, Kesang Tua dekat sini telah diubahsuai menjadi gelanggang latihan buat Diaz, 30, sepanjang 11 bulan atlet itu menjalani latihan sehingga 18 Julai lalu, sebelum berlepas ke Jepun.

Kelmarin, atlet angkat berat yang memenangi pingat perak di Olimpik Rio 2016 melakar sejarah apabila memenangi emas pertama buat Fi­lipina dalam kelas 55 kilogram (kg).

“Saya tidak terkejut dengan kejayaan Diaz di Jepun. Saya sudah jangka dia dapat merea­lisasikan impian untuk merangkul emas kerana itu keazamannya apabila sanggup datang ke rumah saya di Kesang Tua.

“Dia ada menghantar pesa­nan melalui aplikasi WhatsApp pada sebelah pagi meminta nasihat sebelum bertanding.

“Saya cakap pada dia, awak boleh berjaya dan ingat janji awak sewaktu berlatih di rumah saya,” kata Ahmad Janius ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya.

HIDILYN Diaz menjadi kebanggaan atlet remaja di Zamboanga selepas menghadiahkan pingat emas Olimpik pertama buat Filipina dalam acara angkat berat 55 kilogram. – AFP

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kesang Tua, Zakaria Hussain yang datang untuk mengucapkan tahniah kepadanya.

Ahmad Janius menambah, pada mulanya, Diaz menum­pang menjalani latihan di Kompleks Sukan Bukit Jalil bersama dua jurulatihnya sebagai persiapan menghadapi kejohanan di Colombia dan Olimpik Tokyo pada Februari tahun lalu.

Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menyebabkan semua sesi latihan atlet di Bukit Jalil terhenti bagi mematuhi prosedur ­operasi standard (SOP).

Situasi itu, katanya, menye­babkan atlet yang berasal dari selatan Zamboanga itu terkandas di Malaysia, tidak dapat pulang ke negara asalnya ekoran pandemik Covid-19.


AHMAD JANIUS Abdullah (tiga, kiri) bersama Zakaria Hussain (empat, kanan) di depan rumah yang menjadi tempat latihan Hidilyn Diaz di Batu 19, Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP

“Setelah hampir dua bulan tidak menjalani latihan, dia merayu kepada saya untuk membantu mendapatkan tempat latihan.

“Akhirnya saya dapat idea, kawasan letak kereta di rumah saya di Kesang Tua boleh diubah-suai menjadi tempat latihan. Saya pinjam beberapa peralatan mengangkat berat dan dibawa ke Melaka.

“Kawasan letak kereta yang dulu penuh dengan lalang saya bersihkan.

“Rumah itu tidak di­diami sebab saya, isteri dan anak-anak menetap di Bandar Baru Bangi, Selangor,” ujarnya.

Hidilyn Diaz tidak berhenti mengalirkan air mata di atas podium sepanjang lagu kebangsaan negaranya berkumandang. – AFP

Tambahnya, Diaz mula mendiami rumah tersebut pada awal September lalu dan giat menjalani latihan pada pagi, petang dan sebelah malam.

Jelasnya, atlet berkenaan dijangka datang semula ke Melaka dalam tempoh dua minggu lagi dan dikatakan tidak sabar untuk kembali ke Kesang Tua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya