KOTA BHARU: Kelantan FC mahu melupakan kekalahan kepada PDRM FC, Rabu lalu dan kembali fokus meraih mata penuh berdepan Terengganu FC II (TFC II) pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad di sini, hari ini (4.45 petang).
Pengendalinya Marco Ragini berkata, meskipun misi itu tampak sukar selepas kehilangan beberapa tonggak namun barisan pemain The Red Warriors (TRW) perlu kekal fokus dari pelbagai aspek mental dan fizikal bagi memastikan misi meraih mata berjaya digapai sebaik mungkin.
“Berdepan TFC II bukan mudah kerana mereka adalah pasukan terbaik dalam saingan Liga Perdana ketika ini.
“Tapi saya tidak mahu jadikan ia sebagai alasan, sebaliknya mahu pemain fokus untuk aksi itu nanti,” katanya.
Tambahnya, daya tahan mental dan fizikal yang tinggi akan menjadi pemangkin bagi memastikan tiga mata menjadi milik TRW.
Ragini memberitahu, barisan pemain TRW turut diingatkan supaya menguasai perlawanan dan memanfaatkan setiap peluang terhidang dengan menghasilkan jaringan.
Katanya, Kelantan FC tidak boleh terus keciciran mata jika mahu berada kedudukan terbaik dalam saingan liga.
Selepas mengharungi 13 perlawanan, Kelantan FC berada di kedudukan keenam dengan mengumpul 18 mata.