LONDON: Lebih tujuh juta orang menandatangani petisyen mahu hukuman keras dikenakan terhadap mereka yang melakukan serangan perkauman terhadap pemain, termasuk digantung menonton perlawanan bola sepak seumur hidup.
Kelmarin, Facebook dan Twitter dalam satu kenyataan berkata, mereka terpaksa memadam banyak komen kesat yang ditujukan kepada pemain England ekoran kekalahan kepada Itali pada final Euro 2020.
Kebanyakan komen ditinggalkan di Twitter, Instagram dan Facebook ditujukan kepada Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bukayo Saka, tiga pemain yang gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika England kalah 2-3 kepada Itali menerusi penalti.
Emoji monyet dan ‘sila balik Nigeria’ antara serangan yang diterima pemain.
“Penganiayaan perkauman kepada pemain England sama sekali tiada tempat di Twitter.
“Dalam tempoh 24 jam menerusi sistem automatik dan tinjauan petugas kami, Twitter telah memadam lebih 1,000 Tweet dengan cepat, selain menggantung beberapa akaun,” kata jurucakap Twitter.
Petisyen ‘Larangan pesalah perkauman daripada semua perlawanan bola sepak England seumur hidup’ yang dianjurkan The Three Hijabis mendapat sokongan hebat.
Petisyen yang disiarkan di Change.org itu menyebut: “Pasukan Gareth Southgate wakili kita semua. Sebab itu kami bangga dengan skuad ini dan mereka amat dihargai serta disayangi. Tidak sepatutnya ada ruang untuk perkauman dan ketaksuban dalam bola sepak.” – AGENSI