LONDON: Badan bola sepak Eropah, UEFA hari ini memulakan prosiding disiplin dan mendakwa England atas kelakuan penyokong mereka ketika pasukan itu menumpaskan Denmark dalam separuh akhir Euro 2020, termasuk dakwaan menyuluh laser ke muka penjaga gol, Kasper Schmeichel.
Beberapa akhbar Britain hari ini menyiarkan gambar lampu hijau laser yang ditujukan ke arah Schmeichel tepat sebelum Harry Kane mengambil sepakan penalti pada masa tambahan.
Segelintir penyokong di Stadium Wembley turut mengejek ketika lagu kebangsaan Denmark dimainkan, selain menyalakan suar.
UEFA dalam kenyataannya berkata, mereka mendakwa England ‘menyuluh laser’ , ‘gangguan yang dilakukan semasa lagu kebangsaan’ dan tindakan peminat menyalakan bunga api.
Schmeichel menyelamatkan penalti Kane tetapi kapten England menjaringkan bola lantun untuk memberi kemenangan 2-1 kepada Three Lions dan membawa mereka melangkah ke kejohanan utama buat pertama dalam tempoh 55 tahun.
England akan menentang Itali dalam final di Stadium Wembley, Ahad ini.
Pengacara ITV, Mark Chapman menyifatkan tindakan peminat tersebut sebagai ‘bodoh’ dan tidak boleh diterima.
“Siapa pun dia (menyuluh laser), dia adalah bodoh, lelaki atau perempuan dan kita harap ia tidak mengganggu Kasper Schmeichel kerana ia sesuatu yang bodoh dan dia tidak berhak menerima sesuatu seperti itu,” katanya. – AGENSI