LONDON: Seorang pengguna TikTok yang menggelar dirinya ‘pengembara masa’ dan pernah meneka dengan tepat keputusan perlawanan England mendakwa Itali akan memenangi final Euro 2020, Isnin ini.
Pada 18 Jun lalu iaitu sebelum pasukan yang mara ke separuh akhir ditentukan, pemilik akaun nsh.official itu telah memuat naik sedutan video ‘final’ Euro 2020 yang menyaksikan Itali mengalahkan England 2-1 sedangkan perlawanan hanya akan berlangsung, Isnin ini.
Dalam video berkenaan, bintang Inter Milan, Nicolo Barella menjaringkan gol pembukaan Itali, namun Mason Mount menyamakan kedudukan 1-1. Jaringan Federico Chiesa mengesahkan kemenangan skuad Azzurri.
Video turut memperlihatkan pemain Itali sedang meraikan kemenangan mereka, selain suasana di dalam Stadium Wembley selepas perlawanan berakhir.
Dia kemudian menulis: “Saya pengembara masa. Itali baru saja mengalahkan England dalam final Euro 2020.”
@nsh.official Just here to help you out #football #em #euro2020 #final #italy
Nsh.official sebelum ini mencuri tumpuan apabila memuat naik video yang hampir sama mengenai pertemuan England-Ukraine di suku akhir beberapa jam sebelum sepak mula dilakukan. Dia mendakwa, perlawanan akan berakhir dengan England menang 4-0, dan perkara itu benar-benar berlaku.
Setakat ini, video berkenaan sudah ditonton 6.4 juta kali dan pengguna media sosial memberi memberikan pelbagai reaksi, malah ada yang menyifatkan perkara itu ‘menakutkan’.
“Lelaki ini benar-benar dari masa depan,” tulis seorang peminat.
“Bro sekarang (video England-Itali) mengagumkan”, kata seorang lagi pengguna TikTok.
“Baiklah, sekarang saya mulai takut kerana mengikuti perkara ini sejak awal kejohanan,” kata pengguna ketiga.
Bagaimanapun kebanyakan netizen cuba bersikap lebih logik dengan meragui catatan serta video yang dimuat naik ‘pengembara masa’ berkenaan. – AGENSI