TOKYO: Cuaca di Tokyo nampaknya sukar ‘ditangani’ oleh Svetlana Gomboeva selepas pemanah Rusia itu pitam dan terpaksa dibawa keluar ketika sedang bertarung dalam pusingan kelayakan Olimpik semalam.
Gomboeva, 23, tiba-tiba rebah ketika ketika memeriksa kutipan mata terakhirnya dan terpaksa dibantu oleh kakitangan serta rakan sepasukan yang meletakkan beg ais di kepalanya.
Cuaca panas di Tokyo menyebabkan jurulatih dan kakitangan bertugas terpaksa berlindung di bawah pokok.
“Dia nampaknya tidak mampu bertahan di bawah cuaca panas sepanjang hari.
“Seingat saya, ini kali pertama kejadian seperti ini berlaku. Di Vladivostok, tempat kami berlatih sebelum ini, cuacanya hampir sama tetapi kelembapan udara memainkan peranan di sini.
“Kami harap dia akan kembali sihat,” kata jurulatih Rusia, Stanislav Popov.
Selepas menerima rawatan, Gomboeva bagaimanapun berkata, keadaannya semakin baik dan bersedia meneruskan persaingan.
“Saya sudah Okay, tadi kepala saya sakit sangat. Saya tidak boleh membidik,” kata Gomboeva yang menamatkan saingan di tempat ke-45 daripada 64 pemanah. – AGENSI