PETALING JAYA : Perenang kebangsaan, Phee Jinq En menyifatkan dia telah memberikan 200 peratus usaha seperti dijanjikan dalam misi memecahkan rekod kebangsaan miliknya pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, kelmarin.
Atlet kelahiran Selangor itu berjaya mencatat masa terpantasnya, satu minit 08.40 saat (s) pada saringan dua acara 100 meter (m) kuak dada wanita di Pusat Akuatik Tokyo kelmarin sekali gus memecahkan rekod lama kebangsaan, 1:08.50s yang dilakukannya ketika meraih pingat emas Sukan SEA Manila 2019.
Biarpun gagal melangkah ke peringkat separuh akhir namun kejayaan itu sudah cukup memberi kepuasan buat Jinq En pada penampilan keduanya di Olimpik.
“Sangat puas hati, kali pertama mencatat rekod terbaik di temasya dunia. Saya sangat letih tetapi gembira dan berpuas hati dengan keputusan ini.
“Dari awal misi saya adalah memberikan 200 peratus usaha untuk acara 100m kuak dada kerana saya mahu catatan yang lebih bagus berbanding edisi Rio 2016,” katanya.
Tambah perenang berusia 23 tahun itu, turut mengakui latihan di Amerika Syarikat banyak membantu meningkatkan prestasinya.
“Sangat membantu, bersaing dengan perenang terbaik dunia di sana membantu saya menenangkan diri sebelum perlumbaan dan meningkatkan prestasi,” ujarnya.
Seorang lagi perenang negara di Tokyo, Welson Sim pula terpaksa akur menutup kempennya tanpa sebarang rekod baharu peribadi dalam dua acara disertainya, 200m dan 400m gaya bebas.