MINGGUAN: Kurang seminggu menjelang Sukan Olimpik, boleh ceritakan perkembangan dan persiapan kontinjen Malaysia?
REEZAL MERICAN: Persiapan dalam keadaan baik walaupun kita berdepan Covid-19 hampir 16 bulan. Kesukaran jauh lebih dirasai atlet kerana mereka perlu berlatih, teruskan perjuangan dan cuba melayakkan diri. Secara peribadi saya mengucapkan terima kasih kepada MSN, ISN, MOM kerana membolehkan atlet kita meneruskan latihan dan seterusnya layak ke Sukan Olimpik.
30 atlet daripada 10 jenis sukan mengesahkan tiket ke Tokyo, namun sasaran diletakkan kepada berbasikal, terjun dan badminton untuk meraih pingat. Mungkinkah ada sukan lain boleh memberi kejutan di Tokyo?
Secara realistik pingat datang dari tiga sukan ini tapi kadang-kadang sukan lain boleh buat kejutan, contohnya memanah. Apa pun, saya ingin tekankan, bagi sesetengah atlet, layak ke Olimpik sudah satu sejarah. Sasaran mereka tidak semestinya pingat, banyak pencapaian lain boleh dianggap kejayaan. Contohnya Lee Hup Wei (lompat tinggi), sekarang berada di ranking ke-26 dunia. Saya beritahu, cuba layak ke final iaitu 12 terbaik. Untuk layak, dia perlu buat lompatan 2.26 meter, dia pernah melakukan 2.29m di Doha (Kejohanan Dunia), dia boleh buat.
Ada 13 atlet bakal membuat penampilan sulung di Olimpik. Dalam suasana sekarang, apa nasihat kepada mereka?
Buat yang terbaik dan anggap anda akan menentang 11,000 atlet dari 206 negara di seluruh dunia. Tiada negara yang menarik diri, kecuali Korea Utara. Jadi fikirkan perasaan bertarung dengan semua atlet terbaik dunia, betapa hebatnya pengalaman yang ditawarkan Sukan Olimpik. Ambil peluang ini sebaik-baiknya. Ada dua..tiga atlet bertanding atas tiket wildcard (jemputan), manfaatkan peluang. Cuba pecah rekod kebangsaan, kalau tak boleh, pecah rekod peribadi.
Malaysia membawa pulang empat pingat perak dan satu gangsa di Rio 2016, menjadikan ia pencapaian terbaik negara dalam sejarah Olimpik. Apakah realistik untuk mengharapkan pencapaian itu mampu diulangi di Tokyo 2020?
Saya kena realistik dan kita kena bersederhana dalam meletakkan sasaran pingat yang hendak dicapai. Dalam kekangan atlet mendapatkan latihan dan tidak mampu menyertai banyak kejohanan, ini memberi kesan terhadap tahap kompetitif mereka…memang ada kesan. Apa yang kita capai di Rio setakat ini paling bersejarah. Keseluruhannya, kita menang 11 pingat (semua Sukan Olimpik) iaitu lapan perak dan tiga gangsa. Daripada 11 pingat, lima dari Rio. Empat perak, satu gangsa, jadi bayangkanlah…
Dalam situasi Covid-19, atlet diselubungi kebimbangan untuk ke Jepun. Secara fizikal mereka bersedia, namun dari segi psikologi bagaimana mereka dipersiapkan?
Selain kecergasan dan kecederaan, atlet juga dipersiapkan dari segi mental serta psikologi. Sebenarnya, persediaan ini bukan baru, ia telah bermula sejak 16 bulan lalu. Untuk pengetahuan semua, kehidupan atlet dan kita sama sekali berbeza. Sesetengah atlet dimasukkan dalam gelembung sukan dan tidak dibenarkan keluar. Bayangkan dulu mereka berlatih, hujung minggu boleh keluar jumpa keluarga, sekarang tak boleh dan ia dilalui selama berbulan-bulan.
Mental mereka sangat kuat. Berlatih setiap hari dalam gelembung sendiri, mereka berjaya melaluinya. Sebab itu, baru-baru ini saya minta izin untuk bawa keluarga mereka dan dibiayai oleh KBS (Kementerian Belia dan Sukan) untuk jumpa atlet. Keluarga adalah suntikan semangat dan motivasi di sebalik kejayaan atlet. ISN dan MSN aturkan Nur Dhabitah (Sabri, terjun) dan Wendy (Ng, terjun) jumpa keluarga, begitu juga badminton dan sukan lain. Tapi perjumpaan ini dalam gelembung.
Apa maknanya Sukan Olimpik untuk rakyat Malaysia?
Di kala negara dan dunia suram dengan keadaan ekonomi dan Covid-19, sukan dianggap light at the end of the tunnel (cahaya di hujung terowong). Ia boleh menjadi bahan yang menggembirakan, alat penyatuan serta harapan. Olimpik pula adalah kemuncak segala-gala sukan di dunia. Saya rasa, kita akan lalui momen-momen suka duka, gembira atau sedih, kekecewaan atau kejutan. Sebagai menteri saya bersedia, sebab itulah saya anggap kekuatan yang ditunjukkan atlet adalah kekuatan kepada kami juga atas nama negara.
Biarpun kontinjen kali ini sederhana dengan 30 atlet, mengambil kira kepayahan untuk menyediakan atlet dalam suasana pandemik, apakah ini Olimpik paling getir?
Persiapan mereka memang berbeza dari dulu, semua dilakukan dengan amat terperinci dari latihan, kejohanan dan perjalanan ke Tokyo. Baru-baru ini saya melawat lapangan terbang untuk tengok sendiri laluan atlet yang akan ke Jepun. Mereka akan menggunakan laluan sendiri, kaunter daftar masuk sendiri, kastam sendiri, orang lain naik bas ke terminal, mereka naik aerotrain. Dalam kapal terbang diasingkan, ada tandas sendiri sebab takut disebabkan benda-benda kecil boleh berlaku jangkitan.
Pramugari yang menjaga atlet juga akan memakai light PPE. Bayangkan betapa terperinci mereka dijaga.
Pesanan terakhir untuk atlet yang akan bertarung di Sukan Olimpik 2020?
Pergi ke sana berjuang habis-habisan. Atlet simbol perjuangan rakyat Malaysia, 30 orang mewakili 32 juta.
Rakyat di tanah air ada hubungan istimewa dengan perjuangan atlet. Sebab itu, saya wujudkan kata-kata keramat ‘Demi Malaysia’. Saya mahu ajak semua rakyat negara ini memberi semangat kepada atlet kita yang akan berjuang. Dengan tiadanya sorakan di sana untuk memberi kekuatan kepada mereka, Demi Malaysia kalau diputar berulang kali, semangat rakyat Malaysia akan sampai ke Jepun.
Tunjukkan kesungguhan, berjuang hingga kudrat terakhir, semangat dan perjuangan anda Insya-Allah sampai di hati rakyat Malaysia. Percayalah, kesungguhan anda untuk memberi aksi terbaik akan dihargai oleh rakyat negara ini.