LONDON: Lagu It’s Coming Home (ia sudah pulang) dinyanyikan penyokong England tanpa jemu setiap kali Three Lions bertarung dalam kejuaraan utama, namun sejak menjuarai Piala Dunia 1966, tiada trofi pernah dibawa pulang oleh mereka.
Kapten England, Harry Kane percaya, kejayaan menyingkirkan seteru lama, Jerman 2-0 dan mara ke suku akhir Euro 2020 menjadi detik terbaik mereka untuk menjulang kejuaraan Eropah pertama dalam sejarah.
Penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris itu akhirnya memecah kebuntuan dengan meledak gol pertamanya dalam Euro 2020 menerusi tandukan minit ke-86 untuk menjadikan kedudukan 2-0 selepas Raheem Sterling membuka jaringan di minit ke-75.
Itu kemenangan pertama Engand ke atas juara dunia empat kali, Jerman di peringkat kalah mati sejak menjulang Piala Dunia 1966 di laman sendiri.
“Ia hari yang menakjubkan, permainan terhebat. Mendengar Wembley bergema sesuatu yang tidak akan saya lupakan.
“Kami tidak bolos sekali lagi, petang yang sempurna. Namun, semua ini tidak bermakna kalau kami tidak membawa kejuaraan,” kata Kane.
Buat kali pertama dalam Euro 2020, England akan bermain di luar kota London apabila menentang Ukraine di Stadium Olympic, Rome, Ahad ini.
Pengendali mereka, Gareth Southgate mahu anak-anak buahnya memastikan pertemuan dengan Ukraine bukan perlawanan terakhir mereka dalam kejohanan, sebaliknya pasukan harus kembali ke Wembley untuk bermain di separuh akhir dan final.
“Wembley akan menjadi venue separuh akhir dan final. Pasti amat mengecewakan jika bukan England yang beraksi di sini nanti.
“Ia sudah terlalu lama sejak kali terakhir merangkul Piala Dunia (55 tahun) dan kami tidak pernah muncul juara Eropah, ini masa terbaik,” kata Southgate.
Pencapaian terbaik England dalam Euro adalah menduduki tangga ketiga pada 1968 dan 1996. – AGENSI