PETALING JAYA: Leong Mun Yee sedih, namun tidak terkilan selepas menutup karier Sukan Olimpik tanpa sebarang pingat selepas lima kali mencuba.
Gandingannya bersama Pandelela Rinong yang diharap mampu membutirkan pingat pertama Malaysia di temasya Tokyo 2020 bagaimanapun berakhir dengan menduduki tangga kelapan acara 10 meter platform seirama wanita semalam.
Mun Yee, 36, mengakui, dia melakukan beberapa kesilapan yang terpaksa dibayar dengan harga mahal, namun sudah melakukan segala-gala yang terdaya untuk cuba mencari pingat dalam kemunculan terakhirnya di Olimpik.
“Sudah tentu sedih, ini Olimpik terakhir saya dan peluang terbaik untuk meraih pingat. Saya sudah berikan segala-galanya, hari ini nyata bukan hari saya.
“Prestasi saya kurang baik pada terjunan ketiga dan keseluruhannya kurang memuaskan. Pada sesi latihan terjunan kami lebih baik.
“Acara saya sudah berakhir dan saya harap rakan lain dapat membuat lebih baik (dengan meraih pingat).
“Memang ada tekanan (sandaran pingat) tapi kami sudah bersedia serap tekanan itu, jadi tiada apa-apa kekesalan,” kata penerjun kelahiran Ipoh itu.
Bagaimanapun, penerjun kelahiran Perak itu masih boleh berbangga dengan pencapaian, berjaya membuat penampilan sebanyak lima kali di Olimpik bermula di Sydney pada tahun 2000, Athens 2004, Beijing 2008 dan London 2012.
Mun Yee yang memegang Ijazah Sarjana Muda dalam Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak menolak kemungkinan beralih ke bidang penyiaran selepas menamatkan kariernya dengan memilih rangkaian sukan Astro Arena.
Sementara itu, Pandelela enggan meratapi kegagalan membawa pulang pingat dalam acara yang menjadi prospek utama Malaysia, sebaliknya mahu segera mengalihkan fokus kepada saingan individu pada 4 Ogos nanti.
Meraih pingat gangsa dalam acara 10m platform individu pada Sukan Olimpik London 2012, penerjun kelahiran Sarawak itu berharap mampu mengulangi pencapaian tersebut.
Pandelela, 28, tidak berseorangan beraksi, dia akan disertai pasangannya ketika memenangi perak 10m platform seirama di Rio 2016, CheonG Jun Hoong, yang juga juara dunia 2017.
“Terima kasih (rakyat Malaysia) kerana menyokong kami. Kami sudah buat yang terbaik dan mungkin tuah tidak memihak hari ini (semalam).
“Kami akan terus berusaha untuk acara seterusnya,” ujarnya.
Pasangan negara bermula baik pada dua terjunan awal namun gagal mempamerkan konsistensi dalam baki tiga terjunan seterusnya apabila sekadar meraih 277.98 mata.
Penerjun China, Chen Yuxi dan Zhang Jiaqi menetapi ramalan dengan merangkul pingat emas dengan mengumpul 363.78 mata, manakala Jessica Parratto-Delaney Schnell dari Amerika Syarikat meraih perak (310.80) manakala gangsa menjadi milik gandingan Mexico Gabriela Agundez-Alejandra Orozco (299.70).