TOKYO: Sukan Olimpik ‘penuh emosi’ Tokyo 2020 akhirnya disingkap secara rasmi malam ini dalam stadium ‘tanpa penonton’ yang ditangguhkan selama setahun, dibayangi pelbagai kontroversi gara-gara pandemik Covid-19.
Video memaparkan atlet menjalani latihan di rumah ketika pandemik membuka upacara pembukaan dengan bunga api berwarna merah jambu dinyalakan ke udara selepas kiraan detik.
Stadium OIimpik mempunyai kapasiti 68,000 tempat duduk, namun hanya beberapa ratus perwakilan termasuklah Maharaja Jepun, Naruhito, Presiden Perancis, Emmanuel Macron serta Wanita Pertama Amerika Syarikat, Jill Biden hadir memeriahkan temasya.
Penganjuran Olimpik mendapat tentangan di negara itu selepas perhimpunan lebih 11,000 atlet dibimbangi meningkatkan lagi kadar jangkitan.
Penganjur mengenakan langkah pencegahan virus yang begitu ketat, tidak membenarkan penyokong dari luar buat kali pertama selain penyokong tempatan juga tidak dibenarkan masuk.
Atlet, kakitangan sokongan dan media juga terikat dengan protokol Covid-19 yang amat ketat, termasuk perlu menjalani ujian dan pemeriksaan kesihatan pada setiap hari.
Bagaimanapun, semangat Olimpik tetap disambut penduduk Jepun selepas ratusan penyokong berhimpun untuk merasai suasana dan bunga api ketika upacara pembukaan diadakan.
Ada juga ratusan penyokong yang melakukan protes menentang temasya itu di luar stadium.
Bukan setakat pandemik menjadi cabaran terbesar namun Olimpik turut dicemari dengan skandal bermula daripada rasuah ketika proses bidaan sehinggalah tuduhan meniru rekaan logo Tokyo 2020.
Kontroversi terus berlanjutan sehingga pengarah upacara pembukaan dipecat, Khamis lalu kerana membuat jenaka yang merujuk kepada Holocaust daripada video pada 1998. – AFP