PETALING JAYA: Angin kuat gagal memberi kelebihan kepada pasangan pelayar negara, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali untuk mencatatkan keputusan terbaik dalam acara International 470 Wanita hari ini.
Dua pelayar negara itu hanya mampu menamatkan perlumbaan pertama serta kedua di Pelabuhan Kapal Layar Enoshima di kedudukan ke-18 dan 20.
Nuraisyah-Juni bagaimanapun masih mempunyai lapan perlumbaan untuk memperbaiki kedudukan dan akan turun dalam perlumbaan ketiga serta keempat esok.
Saingan itu dikuasai pelayar Poland, Agnieszka Skrzypulec dan Jolanta Ogar menamatkan kedua-dua perlumbaan di kedudukan pertama.
Tempat kedua bagi perlumbaan pertama menjadi milik pelayar Israel, Noya Bar Am dan Shahar Tibi manakala gandingan pelayar Perancis, Camille Lecointre dan Aloise Retornaz di kedudukan ketiga.
Bagaimanapun, Lecointre dan Retornaz berjaya memperbaiki kedudukan pada perlumbaan kedua dengan meraih tempat kedua sementara pelayar Britain, Hannah Mills dan Eilidh McIntyre menamatkan perlumbaan di tangga ketiga.
Gandingan terbabit kali pertama beraksi di pentas Sukan Olimpik dan jelas gagal mempamerkan aksi cemerlang kemungkinan disebabkan tiupan angin.