Nur Shazrin 'belayar' baik di hari pertama - Utusan Malaysia

Nur Shazrin ‘belayar’ baik di hari pertama

NUR SHAZRIN LATIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nur Shazrin Mohd. Latif memulakan kempen Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan positif apabila melengkapkan dua perlumbaan laser radial wanita di tangga ke-11 keseluruhan hari ini.

Atlet berusia 23 tahun itu yang membuat penampilan kedua Olimpik bermula baik apabila menduduki ranking ketiga dalam perlumbaan pertama, namun gagal meneruskan momentum di perlumbaan kedua untuk menutup saingan di tangga ke-25.

Dia yang mengutip 28 mata bagaimanapun masih berada pada kedudukan baik untuk menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik, iaitu kedudukan yang akan membawanya ke pusingan pemburuan pingat.

Esok, pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2018 itu akan meneruskan aksi dalam perlumbaan ketiga dan keempat, malah dia masih mempunyai lapan lagi perlawanan untuk memperbaiki kedudukan.

Seorang lagi pelayar negara, Khairulnizam Mohd. Afendy melengkapkan perlumbaan pertama laser standard lelaki di tangga ke-26.

Dia akan mengharungi perlumbaan dua, tiga dan empat esok.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, memuji prestasi cemerlang ditampil Nur Shazrin dan berharap atlet dapat mengekalkan momentum dalam baki lapan lagi perlumbaan.

“Syabas Nur Shazrin di atas prestasi yang baik dalam acara laser radial wanita sebentar tadi (hari ini). Eyin menduduki tempat ketiga (Race 1) dan ke-25 (Race 2).

“Selepas dua perlumbaan dijalankan, dia menduduki ranking ke-11 secara keseluruhan daripada 44 pelayar. Masih terdapat baki 8 perlumbaan yang perlu dilalui oleh dia sebelum melayakkan diri ke pusingan perebutan pingat (10 pelayar terbaik).

“Kami bangga dengan anda dan moga berjaya untuk perlumbaan ketiga,” kata Reezal di Instagram miliknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya