SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Selangor II terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam aksi Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.
Beraksi di laman sendiri dan menentang pasukan lebih muda sepatutnya memberi kelebihan kepada Negeri Sembilan, namun Selangor II berjaya memberikan tentangan dan mengekang asakan lawan.
Tuan rumah memperoleh peluang terbaik untuk menjaringkan gol apabila dianugerahkan penalti, namun sepakan yang diambil Zaquan Adha Abd. Razak berjaya ditepis penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman pada minit ke-40.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi penyudah tumpul menyebabkan tiada jaringan berjaya dihasilkan.
Selepas mengharungi 12 perlawanan, Negeri Sembilan mengutip 23 mata untuk menduduki tangga kedua, manakala Selangor II dengan 17 mata di kedudukan kelima.