SANDWICH, United Kingdom: Pendatang baharu, Collin Morikawa mengenepikan cabaran sengit Jordan Spieth untuk menjuarai edisi ke-149 golf Terbuka Britain ke-149 menerusi kelebihan dua pukulan di Royal St. George’s hari ini.
Baru berusia 24 tahun, pemain kelahiran Los Angeles, California itu mengharungi pusingan akhir tanpa bogey, sekali gus mencatat empat bawah par 66.
Dia melengkapkan empat pusingan kejohanan dengan catatan 15 bawah par, dua pukulan mengatasi rakan senegaranya, Spieth.
“Ini momen terbaik dalam hidup saya.
“Melihat kehadiran penonton yang amat ramai adalah detik yang sangat hebat, saya sering menantikan penampilan di Terbuka Britain untuk bertemu kamu semua,” kata Morikawa.
Biarpun tiada berpengalaman beraksi dalam kejohanan berprestij itu, namun Morikawa langsung tidak menunjukkan kelemahan, sebaliknya tampak tenang beraksi di bawah cuaca terik mencecah 30 darjah celsius di Sandwich.
“Sejak beralih ke profesional, saya sentiasa yakin bahawa saya boleh melakukannya.
“Ketika saya datang ke kejohanan ini, yang sangat asing buat saya, begitu juga lapangannya, saya membuat kerja rumah untuk mengkaji apa yang perlu saya lakukan di sini,” katanya. – AGENSI