Morata hampir kemurungan - Utusan Malaysia

Morata hampir kemurungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN hanya dua tahun menyarung jersi Chelsea, namun kelab London itu meninggalkan trauma buat Alvaro Morata yang hampir mengalami kemurungan sepanjang beraksi bersama mereka.

Pengalaman buruk di Stamford Bridge menyebabkan penyerang Sepanyol itu kini aktif menjalankan kempen menangani kesihatan mental dalam kalangan pemain bola sepak.

Dalam temubual bersama El Mundo, Morata mendedahkan dia terpaksa bertemu pakar psikologi untuk mendapatkan bantuan dan itu menyelamatkannya daripada kemurungan.

“Saya tidak pernah me­ngalami kemurungan, harapnya ia tidak akan berlaku tapi saya pernah menghampiri situasi itu.

“Saya tidak fikir perkara itu diberi perhatian serius seperti yang sepatutnya. Bila kepala anda tidak berfikir dengan ­betul, diri anda adalah musuh anda sendiri.

“Sepanjang tempoh tersebut, apa yang anda lakukan tidak lagi penting kerana anda sering berlawan diri sendiri,” katanya.

Morata percaya, masanya sudah tiba untuk pemain bola sepak bercakap tentang psikologi dan kesihatan mental sebagai rutin latihan.

“Bahkan untuk generasi saya, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ia tidak dilihat sebagai sesuatu yang normal untuk berjumpa pakar psikologi.

“Namun suka atau tidak, ia harus menjadi sesuatu yang normal. Ia akan menjadi perkara biasa kerana anda akan melalui masa-masa yang sukar,” kata Morata.

Pada 2017, Morata menjangkakan kariernya tiba di kemuncak apabila menyertai Chelsea dengan rekod perpindahan 58 juta pound (RM334 juta) dari Real Madrid.

Bagaimanapun dia menjadi mangsa ‘serangan’ peminat dan media Britain selepas gagal menepati reputasi.

Penyokong Blues menyanyikan lagu berbaur perkauman dan penghinaan setiap kali dia beraksi hingga memaksa Morata merayu kepada mereka agar berhenti daripada melakukan perbuatan itu.

Kisah peribadinya ­turut dikorek oleh media secara agresif, malah Morata me­ngakui, pada satu tahap dia mula meragui apakah dia mendapat sokongan rakan-rakan sepasukannya sendiri.

“Ada satu ketika, saya mempunyai perasaan…rakan-rakan sepasukan melihat saya de­ngan pandangan ‘dia tidak boleh melakukan apa-apa yang bagus dalam bola sepak’. Ia menyebabkan motivasi saya jatuh.

“Satu hari, saya beritahu ­isteri… ‘kita akan pergi jauh sejauh yang mungkin dari London.

“Saya sudah tidak mampu lagi berdepan tekanan.

“Atletico ­(Madrid) datang dengan tawaran, Chelsea masih mahu saya kekal tapi saya memutuskan, saya harus pergi,” katanya.

Dalam kempen Euro 2020, Morata yang membawa Sepanyol mara ke separuh akhir tidak terlepas daripada menjadi ­mangsa hinaan, malah ancaman peminat.

Bapa kepada tiga anak lelaki itu mendedahkan dia amat terkesan apabila ada penyokong mengancam keluarganya di media sosial, malah mendoakan anak-anaknya mati.

Demi melindungi Morata, pengurus Sepanyol, Luis Enrique menyerahkan semua bahan bukti kepada polis dan mahu pihak berkuasa segera mengambil tindakan menerusi apa jua akta yang wujud untuk mengekang buli siber yang dianggap sudah melampau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya