TOKYO: Perancis memulakan kempen Sukan Olimpik dengan ‘mimpi ngeri’ apabila dibelasah 4-1 oleh Mexico pada ketika Sepanyol, satu lagi nama besar dalam bola sepak dunia diikat Mesir 1-1 hari ini.
Turun dengan misi memburu pingat emas Olimpik pertama selepas 1984, Perancis yang dibimbing Sylvain Ripoll bagaimanapun gagal memberi tentangan dan tumpas pada separuh masa kedua.
“Kami sangat kecewa dengan keputusan perlawanan dan cara pasukan ini bermain.
“Kami perlu memberikan persembahan terbaik untuk memberi tentangan, namun itu tidak berlaku,” kata Ripoll.
Mexico mendahului selepas dua minit menerusi jaringan Alexis Vega, sebelum Sebastian Cordova menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-55.
Ketua pasukan, Andre-Pierre Gignac, 35, yang kali terakhir mewakili skuad senior Perancis ketika tewas di final Euro 2016 kepada Portugal merapatkan jurang menerusi sepakan penalti 21 minit sebelum perlawanan tamat.
Bagaimanapun , hasrat Perancis untuk bangkit disentap apabila Uriel Antuna dan Eduardo Aguirre menambah dua lagi gol untuk juara edisi 2012 itu.
“Kami perlu menerima kekalahan ini dan kami ada dua hari lagi. Tiada masa untuk dibazirkan,” kata Ripoll.
Sementara itu, Sepanyol yang membariskan enam pemain daripada skuad Euro 2020 menguasai permainan namun kurang mencipta peluang di Sapporo.
Peluang terbaik mereka hadir menerusi percubaan pemain tengah Real Madrid, Dani Ceballos yang sekadar terkena tiang.
Sementara itu, New Zealand membuka kempen Kumpulan B dengan kemenangan 1-0 ke atas Korea Selatan di Kashima hasil jaringan pada minit ke-72 oleh penyerang Burnley, Chris Wood. – AFP