LONDON: Lionel Messi dilaporkan mencapai persetujuan untuk menyambung kontrak bersama Barcelona dengan potongan gaji 50 peratus.
Barca sebelum ini gagal mendapatkan tanda tangan bintang Argentina itu sebelum kontraknya tamat hujung bulan lalu.
Media Sepanyol bagaimanapun melaporkan, rundingan dengan Messi menunjukkan kemajuan positif dengan pemain berusia 34 tahun sedia untuk kekal di Camp Nao.
Kontrak baharu itu menyaksikan kapten Argentina tersebut menerima gaji kurang separuh daripada sebelumnya iaitu sekitar 1.2 juta pound (RM6.99 juta) seminggu.
Barcelona turut memegang klausa pelepasan 300 juta pound (RM1.74 bilion) ke atas pemain itu.
Messi dikatakan menandatangani kontrak lima tahun walaupun dia pernah menyuarakan hasrat untuk menutup karier dalam Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat.
Menurut Sport, penyerang itu sedia menerima pengurangan gaji susulan krisis kewangan dihadapi kelab Catalan akibat pandemik Covid-19.
Pengumuman rasmi dijangka minggu depan apabila bintang itu pulang daripada bercuti selepas membantu Argentina menjuarai Copa America. – AGENSI