PETALING JAYA: Beregu wanita negara, Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean mengakui semakin berdebar menjelang saingan pembukaan temasya Sukan Olimpik 2020 Tokyo yang akan membuka tirai secara rasmi, malam ini.
Pasangan yang menduduki ranking ke-11 dunia itu, diundi dalam Kumpulan A bersama jaguh beregu Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota, Greysia Polii-Apriyani Rahayu (Indonesia) dan Chloe Birch-Lauren Smith (Britain).
Ujar Meng Yean, skuad badminton kebangsaan ketika ini sedang melakukan persiapan fasa akhir terutama dalam menyesuaikan dengan keadaan gelanggang sebelum saingan pembukaan berlangsung di Plaza Sukan Musashino Forest, esok.
“Secara jujur, debaran semakin dirasai apabila hari perlawanan kian hampir sehingga membuatkan saya sukar tidur lena. Dalam masa yang sama, saya sangat teruja untuk membuat penampilan di temasya Sukan Olimpik.
“Kini, kami dalam persiapan terakhir dengan skuad badminton begitu serius dalam menjalani sesi latihan serta menyesuaikan diri di gelanggang di sini.
“Barisan kejurulatihan juga bekerja keras dalam memastikan setiap arahan dan strategi yang dirancang berjaya dicapai dalam usaha untuk menyumbangkan pingat buat kontinjen Malaysia.
“Kami juga sudah cergas sepenuhnya dan bebas daripada sebarang kecederaan dan kini bersedia untuk mengharungi aksi pertama peringkat kumpulan pada Sabtu ini (esok),” kata atlet berusia 27 tahun ini.
Meng Yean dan pasangannya, Meng Kuan dijadualkan berdepan dengan pasangan Indonesia yang menduduki ranking No. 6 dunia, Polii-Rahayu pada aksi pembukaan esok.