LONDON: Conor McGregor perlu berehat panjang sehingga Januari tahun depan untuk memastikan kakinya benar-benar sembuh selepas menjalani pembedahan.
Jaguh seni bela diri campuran Ireland itu patah kaki kiri ketika menentang Dustin Poirier dalam pertarungan UFC 264 di Las Vegas, Ahad lalu.
McGregor, 32, mengalami kecederaan itu sebelum tamat pusingan pertama tamat dan gagal meneruskan pertarungan.
Biarpun baru tiga hari menjalani pembedahan, Presiden Ultimate Fighting Championship (UFC), Dana White berkata, jaguh Ireland itu akan menentang pemenang antara Poirier dan juara lightweight Charles Oliveira.
McGregor bagaimanapun perlu menunggu sekurang-kurangnya sehingga tahun depan untuk kembali ke oktagon melainkan dia mendapat kebenaran doktor.
Dia tidak dibenarkan masuk ke gelanggang sehingga 7 Januari 2022 atau perlu mendapatkan pelepasan daripada pakar ortopedik untuk bertarung lebih awal.
“Selepas Conor sembuh dan bersedia, saya rasa akan ada pertarungan semula. Pertarungan mereka belum selesai,” kata White, mengenai kemungkinan akan mengadakan perlawanan ulangan antara McGregor dan Poirier. – AGENSI