LONDON: Selepas diselubungi kontroversi Olivier Giroud menjelang kejohanan, Kylian Mbappe digambarkan bersendirian setelah gagal menyempurnakan sepakan penalti yang menyebabkan Perancis disingkirkan Switzerland di pusingan 16 akhir.
Kekalahan itu amat mengejutkan kerana Les Bleus diletak sebagai calon juara dengan memegang status juara dunia, selain meraih banyak keputusan hebat sebelum kejohanan.
Tidak lama selepas Giroud berang kerana kurang mendapat bola daripada bintang muda itu, bekas rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain (PSG), Jerome Rothen pula mendakwa ego Mbappe terlalu besar hingga sukar dikawal pengurus Perancis, Didider Deschamps.
Bekas pemain Perancis, Jean Micoud terdahulu menyifatkan Mbappe pemain yang mementingkan diri dan mempunyai sikap ‘semuanya tentang saya’.
Serangan terhadap pemain sayap berusia 23 tahun itu tidak berhenti sekalipun selepas Perancis tersingkir menerusi penentuan sepakan penalti 4-5.
Semalam, penulis bola sepak Eurosport, Maxime Dupuis mendakwa, seluruh kem Les Bleus tahu sikap Mbappe, malah dia mempunyai hubungan dingin dengan penyerang, Antoine Griezmann.
“Dia mahu buat semuanya sepanjang kejohanan ini kerana merasakan tanggungjawab ke atas skuad Perancis digalas di bahunya seorang.
“Ya, dia melakukan satu gerakan gol (menentang Switzerland) dan hantaran ke belakang yang cantik, tapi ada masanya dia tidak perlu merumitkan keadaan.
“Dia cuba menjadi hero dalam semua situasi, termasuk dalam penentuan penalti.
“Mbappe terlalu obses dengan statistik, mahu menjadi yang terbaik dalam semuanya,” kata Dupuis. – AGENSI