BRASILIA: Penjaga gol, Emiliano Martinez muncul wira Argentina apabila menyelamatkan tiga sepakan penalti untuk membantu pasukannya menyingkirkan Colombia pada separuh akhir Copa America sebentar tadi, sekali gus menempah pertemuan dengan Brazil di final, Ahad ini.
Semangat juang tinggi Colombia membolehkan mereka bangkit mengikat Argentina 1-1 menerusi gol penyamaan Luis Diaz pada minit ke-60 selepas Lautaro Martinez terdahulu meletakkan Argentina di depan seawal minit ketujuh.
Lionel Messi sekali lagi menunjukkan magisnya dengan mencipta gerakan cantik yang membawa kepada jaringan Martinez, namun Diaz membuktikan Colombia bukan pasukan yang mudah untuk dijinakkan oleh juara 14 kali itu.
Selepas pemenang masih gagal diputuskan dalam 120 minit permainan, penjaga gol Aston Villa, Martinez dan bekas penjaga gawang Arsenal, David Ospina menjadi tumpuan dalam penentuan sepakan penalti.
Martinez menunjukkan prestasi luar biasa apabila menyelamatkan sepakan bintang Tottenham, Davinson Sanchez, Yerry Mina (Everton) dan Edwin Cardona (Boca Junior) untuk mengetuai kemenangan 3-2 Argentina. – AGENSI