LONDON: Manchester United hari ini mencapai persetujuan bernilai 73 juta pound (RM419.18 juta) dengan Borussia Dortmund untuk membeli pemain sayap England, Jadon Sancho.
Selepas berunding sejak dua tahun lalu, pemain berusia 21 tahun itu bersedia menandatangani kontrak lima tahun bersama United yang akan mengekalkannya di Old Trafford sehingga 2026.
Kontrak bagaimanapun hanya akan ditandatangani apabila Sancho lulus ujian perubatan yang akan dijalani selepas selesai tugasan antarabangsa bersama England dalam Euro 2020.
Red Devils sudah lama mengagumi Sancho, dan antara kelab yang cuba mendapatkannya pada 2017, namun pemain itu memilih untuk menyertai Dortmund dari Manchester City.
United kemudian memperbaharui rundingan dengan Borussia tetapi enggan memenuhi harga 108 juta pound (RM620.16 juta) yang ditetapkan kelab Jerman tersebut.
Borussia kemudian menurunkan harga Sancho kepada 86 juta pound (RM493.83 juta), namun selepas rundingan memasuki fasa penting, harga yang ditawarkan menjadi lebih rendah.