Malaysia pertaruh skuad B-20 - Utusan Malaysia

Malaysia pertaruh skuad B-20

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil langkah berani apabila mempertaruhkan skuad bawah 20 tahun (B-20) bagi mengharungi aksi Kelayakan Piala Asia B-23 2022 yang berlangsung di Mongolia, Oktober ini.

Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee berkata, skuad Malaysia B-20 dipilih seiring dengan program jangka panjang untuk menghadapi kelayakan Sukan Olimpik 2024 Paris, yang mana barisan pemain yang perlu dipersiapkan ke arah itu.

“Keputusan ini sudah dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM sebelum ini dan seterusnya mendapat persetujuan dan kelulusan daripada Jawatankuasa Eksekutif FAM.

“Kelompok pemain ini (berusia 20 tahun dan ke bawah) akan kita sediakan lebih awal bermula tahun ini bagi menghadapi dua kitaran pusingan kelayakan iaitu Kelayakan Piala Asia B-23 2022 pada Oktober ini dan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 pada tahun 2023, selain dua edisi Sukan SEA iaitu di Vietnam dan di Kemboja pada 2023.

“Jadi kelompok pemain ini akan diberi lebih banyak pendedahan dan persiapan jangka panjang lebih awal bagi kempen kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 itu termasuk beraksi pada Kelayakan Piala Asia B-23 2022 serta kejohanan-kejohanan lain bagi peringkat usia B-22 atau B-23 yang akan datang,” kata Kim Swee dalam satu kenyataan hari ini.

BRAD Maloney (tengah) akan membimbing skuad muda negara dalam kempen kelayakan Piala Asia B-23.

Katanya, skuad tersebut akan dibimbing oleh Brad Maloney bagi menghadapi saingan kelayakan itu di mana Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J bersama Thailand, Laos dan Mongolia.

“Bagi undian kali ini, bukan bermakna laluan mudah dalam Kumpulan J ini kerana kita kena faham yang kita menghantar skuad B-20. Apa yang lebih penting, pendedahan kepada para pemain ini untuk mereka dipersiapkan menjelang saingan kelayakan seterusnya pada 2023.

“Kita akan bertemu Laos pada perlawanan pertama yang mana mereka adalah lawan biasa kita dalam kejohanan di Asia Tenggara. Tapi tak boleh ambil mudah kerana mereka menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini.

“Perlawanan kedua, Mongolia. Sudah tentu juga bukan perlawanan yang mudah kerana kita tahu mereka berkelebihan selaku pasukan tuan rumah manakala perlawanan ketiga, Thailand adalah musuh tradisi kita dan juga pencabar utama.

“Jadi kita perlu bersiap sedia dengan persiapan yang lebih baik untuk layak ke pusingan akhir dan jika berjaya layak, ia satu bonus untuk para pemain skuad B-20 ini didedahkan dengan kejohanan yang lebih tinggi sebelum kita ke kelayakan seterusnya pada 2023.

“Mengenai persiapan pasukan menjelang saingan kelayakan pada Oktober ini, sudah tentu Brad (Maloney) mempunyai perancangannya yang mana beliau akan mengumpulkan para pemain bagi kem latihan pusat pada jendela Fifa yang akan datang ini,” katanya.

ONG KIM SWEE

Pada 2018, Malaysia berjaya melangkah ke suku akhir sebelum kalah tipis 1-2 kepada Korea Selatan.

Kecemerlangan itu bagaimanapun gagal diteruskan dalam edisi dua tahun lalu apabila tidak berjaya melepasi pusingan kelayakan dengan menamatkan kempen di tangga kedua di belakang China.

Berdasarkan undian hari ini, Malaysia tampak berpeluang baik untuk layak ke pusingan akhir selepas diundi dalam Kumpulan J bersama Thailand dan Laos, selain Mongolia.

Juara dari 11 kumpulan kelayakan akan mara secara automatik ke pusingan akhir tahun depan, manakala empat naib juara terbaik akan melengkapkan senarai 16 pasukan  yang bakal beraksi di Tashkent, Uzbekistan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya