PETALING JAYA: Malaysia berjaya memenangi tawaran untuk menjadi tuan rumah hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 buat kali keempat, selepas lebij 10 tahun lepas.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, perkara tersebut mencerminkan kepercayaan dan keyakinan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) kepada pihaknya untuk mengatur dan menganjurkan pertandingan itu untuk peminat hoki global.
“Kami berterima kasih kepada FIH kerana memilih tawaran kami dan menganugerahkan acara berprestij ini kepada kami untuk rekod keempat kalinya.
“Kali terakhir kami menganjurkan acara ini adalah lebih dari satu dekad yang lalu pada tahun 2009, ” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Malaysia pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia Remaja 1982, 1989 dan 2009 (tuan rumah bersama Singapura), bahkan menjadi tuan rumah Piala Dunia dua kali pada 1975 dan 2002.
Menurut beliau, MHC juga dijangka melabur dalam sumber yang diperlukan dan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan, termasuk kerajaan, FIH dan pelbagai pihak yang berkepentingan untuk memastikan acara itu berjaya.
“Untuk negara dan semua rakyat, Piala Dunia Remaja akan menjadi pemangkin pertumbuhan dan perkembangan sukan (hoki) di kalangan remaja.
“Kami berharap keadaan akan bertambah baik pada tahun 2023 dan peminat akan disajikan dengan persembahan yang menakjubkan dari bintang-bintang hoki dunia yang akan datang. Kami sangat teruja untuk menganjurkan acara ini dan berharap dapat menjayakan kejohanan ini dengan jayanya.
“Kami berharap dapat mengalu-alukan mereka yang terlibat dalam Piala Dunia Hoki Remaja ke negara kita yang indah pada tahun 2023 nanti,” katanya.