SAINT PETERSBURG: Wira Sepanyol, Unai Simon tidak mahu terlalu mengingati sepakan penalti yang berjaya diselamatkan ketika menyingkirkan Switzerland pada suku akhir semalam, selain sudah melupakan kecuaiannya dalam pertemuan 16 akhir menentang Croatia.
Simon muncul wira ketika Sepanyol mengatasi 10 pemain Switzerland 3-1 menerusi sepakan penalti, seterusnya menempah pertemuan dengan Itali dalam separuh akhir.
Selepas terikat 1-1 di Saint Petersburg, yang menyaksikan Switzerland mengharungi 43 minit permainan dengan kekurangan seorang pemain, Simon menyelamatkan dua sepakan dalam penentuan penalti bagi memastikan skuad La Roja kekal dalam pemburuan trofi keempat.
“Anda kena melupakan kesalahan dengan cepat tetapi juga lupakan kejayaan dengan secepatnya kerana kita akan berdepan cabaran getir separuh akhir selepas ini,” kata penjaga gawang Sepanyol itu.
Simon meraikan kemenangan dengan penuh emosi apabila memeluk jurulatih, Luis Enrique selepas Mikel Oyarzabal menyempurnakan sepakan penalti kemenangan.
“Saya sedikit terbawa-bawa (kegembiraan). Biasanya saya tidak begitu, tetapi segala amarah dan kelegaan keluar. Ini saat yang sangat gembira, sekarang kita harus mengatur semula untuk perlawanan seterusnya,” katanya.
Apabila ditanya siapakah yang selayaknya mendapat penghargaan pemain terbaik perlawanan, beliau berkata: “Yann Sommer.”
Penjaga gol lawan itu berjaya menghalang percubaan pemain Sepanyol berkali-kali, namun disingkirkan melalui penentuan sepakan penalti.
“Kami menghadapi kesukaran tapi tidak mengharapkan perkara lain (selain kemenangan). Ini suku akhir,” kata Jurulatih Sepanyol, Luis Enrique. – AGENSI