LONDON: Juara Eropah enam kali, Liverpool menunjukkan minat yang mendalam untuk mendapatkan bintang Itali, Lorenzo Insigne dari Napoli.
Menurut media Itali, pemain sayap itu masih tidak mencapai persetujuan untuk menyambung kontraknya yang bakal berakhir musim depan.
Rangkaian televisyen Itali, 7 Gold melaporkan, Insigne, 30, meminta 5 juta euro (RM24.57 juta) sebagai syarat penyambungan kontrak.
“Aurelio De Laurentiis (pemilik Napoli) bagaimanapun tidak bersedia untuk menggembirakannya dan hanya menawarkan 3.5 juta euro (RM17.20 juta).
“Ia angka yang jauh lebih rendah daripada apa yang diinginkan kapten Napoli,” kata wartawan 7 Gold, Fabio Santini.
Menurut Santini, persaingan sengit dalam skuad Napoli merumitkan lagi keadaan Insigne.
“Saya tahu, Liverpool menunjukkan minat yang mendalam terhadap Lorenzo Insigne, selain Atletico Madrid,” katanya.
Insigne menjadi watak penting Itali dalam kempen Euro 2020 dengan membawa mereka ke final dan telah meledak dua gol sepanjang kejohanan. – AGENSI